Sabtu, Ogos 02, 2008

PAS BATU SIFATKAN PENDIRIAN TEGAS PAS SEBAGAI TEPAT DAN STRATEGIK



Tarmizi Mohd Jam
Sat | Aug 02, 08 | 1:54:05 am MYT

SENTUL, 2 Ogos (Hrkh) - PAS Kawasan Batu menyifatkan pendirian PAS Pusat untuk tidak mengadakan sebarang rundingan dan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan campuran di Pusat mahupun negeri sebagai langkah tepat dan strategik.

Ketika menyokong saranan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang kelmarin, Yang Dipertuanya, Ishak Surin (gambar) tidak menolak kemungkinan PAS akan berpecah dan ada pendokong akar umbi yang berpatah arang jika parti itu mengadakan kerjasama politik pada masa ini.

Katanya kepada Harakahdaily, penegasan PAS itu telah meredakan keresahan akar umbi dan memantapkan semula parti di semua peringkat dalam meneruskan kerja-kerja untuk menurunkan kerajaan BN yang sudah tidak relevan lagi.

PAS Batu katanya, mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS Pusat yang telah bersepakat mengambil keputusan untuk menolak kerjasama politik seperti yang didesas-desuskan sebelum ini.

Bagaimanapun, Ishak yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan (JPN) tidak menolak usaha dan cadangan kepimpinan PAS Pusat untuk meneruskan apa yang dikatakan sebagai muzakarah atau muqabalah dengan mana-mana parti politik, orang perseorangan dan badan-badan bukan kerajaan demi kebaikan perpaduan Melayu dan agama Islam.

Katanya, PAS sudah sewajarnya mempelopori secara meluas usaha-usaha muzakarah dengan semua pihak termasuk non muslim dalam membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan Islam dan bukan Islam di negara ini.

-HarakahDaily

Tiada ulasan: