Rabu, Jun 30, 2010

MANUSIA BERHADAPAN DENGAN ENAM PERSIMPANGAN


Saidina Abu Bakar r.a. berkata :

1."Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu" - Iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama - (siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya).

2. "Jiwa di sebelah kananmu" - Jiwa mengajakmu ke arah maksiat - (sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilang darinya nilai nyawanya).

3. "Nafsu di sebelah kirimu" - Nafsu mengajakmu memenuhi syahwat - (sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya).

4. "Dunia di sebelah belakangmu" - Dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat - (siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya).

5. "Semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu" - Anggota tubuh mengajakmu melakukan dosa. (siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya).

6. "Sedangkan Allah di atasmu" - Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya - (siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T, maka hilang dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan).

Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.

Wallahu'alam.

Selasa, Jun 29, 2010

SUAMI YANG BERTANGGUNG JAWAB


Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa, iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya.

Saad bin Abi Waqas r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: ’Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah, bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.” Riwayat Al-Bukhari.

Oleh itu suami adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka.

Firman Allah bermaksud: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggunjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka..." (an-Nisa: 34)

Moga kita (khususnya saya), akan sentiasa diberikan taufiq dan hidayah-Nya agar tidak lalai dengan tanggungjawab dan amanah yang telah Allah anugerahkan ini. Kepada bakal-bakal suami, 'kemaskan diri' dan buatlah persiapan dengan secukupnya sebelum melangkah ke gerbang baru yang sudah pastinya jauh berbeza.

Wallahu'alam.

Isnin, Jun 28, 2010

KUASA PEREMPUAN


KUASA KEJELITAAN PEREMPUAN

* Hal ini diketahui oleh semua orang. Kejelitaan perempuan boleh menumbangkan ramai lelaki hingga banyak yang terarah melakukan perkara-perkara yang tidak wajar. Sebaliknya kuasa jelita yang ada pada kaum muslimah boleh menimbulkan kecintaan yang tinggi terhadap Allah di mana seorang isteri boleh mempengaruhi suami dalam hal-hal yang diredhai Allah.


KUASA LAYANAN PEREMPUAN

* Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.


KUASA DOA PEREMPUAN

* Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw, "Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya "Kenapa ya Rasulllah?" Jawab baginda : “Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”


KUASA TAQWA PEREMPUAN

* Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah. Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.

* Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.

* Kekuasaan taqwa ini pula oleh kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.

* Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw, "Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya)."

Wallahu'alam.

Jumaat, Jun 25, 2010

8 PETUA MELAYU LAMA UNTUK ANAK DARA (Mak Anak Dara pun bleh..!)


Dalam masyarakat tradisi Melayu, terdapat banyak petua-petua melayu lama untuk perawan (anak dara) yang elok diamalkan agar sentiasa dipandang menarik, menawan dan cepat dipinang orang. Ini juga merupakan petua-petua yang boleh diamalkan terus oleh wanita yang telah berkahwin dan telah mempunyai anak.

Petua-petua berikut adalah koleksi dari berbagai pengalaman dan tulisan.

1. Bangkit Bersambut
2. Wajah Suci
3. Menyegarkan Payudara
4. Taman Semerbak Mewangi
5. Lubang Jarum
6. Suara Perindu
7. Mengurut Pangkal Bunting Padi
8. Payudara Montok

1. Bangkit Bersambut

Apabila mahu tidur malam, duduk berlunjur dan rebahkan badan ke tilam tanpa menongkatkan badan dengan tangan. Apabila mahu bangkit dan tidur, lunjurkan kaki dan bangunlah tanpa menongkatkan badan dengan tangan. Cecah ibu jari kaki dengan kedua tangan.

2. Wajah Suci

Apabila bangun pagi, jika membasuh muka, elakkan dari mencucinya menggunakan sebarang alat pencuci atau mengesat muka dengan sebarang pengesat. Biarkan air itu kering sendiri pada muka. Jika mengambil air sembahyang pun, usahlah dikesat air itu, biarkan ia kering sendiri. Ini berfaedah mengekalkan kecantikan asli wanita, dan menjadikan muka bercahaya dan segar kerana pelembap asli muka tidak dibuang.

3. Menyegarkan Payudara

Apabila mandi, terutamanya di awal pagi, cucurkan air pancuran atau air paip ke atas kedua-dua belah payudara agar payudara sentiasa subur dan segar, tidak mudah jatuh.

4. Taman Semerbak Mewangi

Amalkan memakan makanan yang segar seperti ulam-ulam yang wangi baunya dan sayur-sayuran yang wangi sejak dari perawan. Amalkan sentiasa. Nafas dan badan juga akan menjadi wangi. Petua ini telah diketahui sejak beribu tahun yang lampau.

5. Lubang Jarum

Latih otot penahan kencing, seolah-olah seperti menahan dan hendak buang air kecil, kemutkan berulang-ulang. Kemudian kemutkan pula otot dubur seolah-olah mahu menahan dari buang air besar, berulang-ulang juga. Jika boleh jadikan ia amalan setiap hari.

6. Suara Perindu

Elakkan dari banyak memakan makanan yang pedas-pedas atau yang agak panas. Selalu minum air asam jawa. Berlatih bercakap dengan mengawal nada suara, jangan dilepaskan suara sewenang-wenangnya. Dikatakan bahawa suara perawan adalah bagai bunyi seruling yang merdu.

7. Mengurut Pangkal Bunting Padi

Biasakan mengurut di pangkal betis, iaitu dengan cara menekan dan memicit kawasan antara urat keting dan buah betis. Lakukan selalu, kerana ini baik untuk mempertingkatkan prestasi kepekaan rasa apabila jimak setelah berkahwin nanti.

8. Payudara Montok

Elakkan dari meniarap di atas lantai sama ada di waktu siang atau malam, kerana meniarap dilantai akan mengendurkan payudara anda.

Wallahu'alam.

Khamis, Jun 24, 2010

BERSUA KEMBALI...!

Assalamualaikum kepada semua. Setelah sekian lama tak menjenguk blog ini, akhirnya saya kembali dengan layout baru. Layout yang menggambarkan kesegaran. Moga kesegaran ini akan terus berpanjangan...insya-Allah!