Selasa, Julai 29, 2008

FIKRAH GERAKAN IKHWANUL MUSLIMIN


Sesuatu pertubuhan yang dikatakan Gerakan Islam hendaklah mendukung ajaran Islam yang syumul. Sekiranya hanya bertujuaan untuk satu-satu tujuan sahaja, seperti da’wah semata-mata, ia bukanlah sebuah Gerakan Islam. Ikhwanul Muslimin, sebagai Gerakan Islam, mencakupi:

DA’WAH SALAFIAH
Kerana mereka menda’wahkan agar Islam dikembalikan kepada sumbernya yang suci iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

TARIQAT SUNNIAH
Kerana mewajibkan menjalankan Sunnah Rasulullah SAW yang suci dalam semua hal, terutama dalam bidang Aqidah dan Ibadah, selama mereka mampu melakukannya.

HAKIKAT SUFIAH
Kerana mereka memahami, bahawa asas kebaikan adalah kebersihan jiwa, kesucian hati, istiqamah dalam beramal, menjauhi keduniaan, kasih sayang kerana Allah dan selalu terikat dengan kebaikan.

HAIAH SIASIAH (Pertubuhan Politik)
Kerana mereka menuntut agar dilakukan perbaikan terhadap hukum pemerintahan dalam negeri. Sedangkan mengenai hubungan luar negeri, mereka menuntut agar pemerintahan mengubah pandangannya terhadap masalah hubungan kaum muslimin dengan umat Islam lainnya. Mereka juga menuntut agar bangsa muslim dididik dengan penuh `Izzah’ (kebangaan) dan kemuliaan diri dan seboleh mungkin diperhatikan golongan umat Islam.

JAMA’AH RIYADHIAH (Kumpulan Jasmani)
Kerana mereka sangat memperhatikan keadaan jasmani mereka. Mereka memahami bahawa mukmin yang kuat itu lebih baik daripada mukmin yang lemah. Mereka mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ”Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu”. Mereka juga mengetahui bahawa semua beban Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan benar kecuali dengan tubuh yang kuat. Solat, puasa, haji dan zakat memerlukan badan yang mampu menahan lelah. Demikian pula halnya dengan berusaha dan bejuang mencari rezeki. Dengan alasan inilah, mereka sangat memperhatikan fizikalnya dan sentiasa menjalani latihan jasmani, seperti Tamrin dan Kem.

RABITHAH ILMIYAH TSAQAFIYAH (Ikatan Ilmiyah)
Kerana Islam telah memerintahkan bahawa menuntut ilmu wajib atas setiap muslim dan muslimah. Dan pada hakikatnya kelompok-kelompok Ikhwan merupakan sekolah-sekolah dan usrah-usrah yang bertujuan belajar dan mencari ilmu pengetahuan. Disamping itu, juga sebagai akademi-akademi pendidikan jasmani, akal dan ruh.

SYIRKAH IQTISHADIYAH (Usaha-Usaha Ekonomi)
Islam memperhatikan hal perolehan harta dan penggunaannya. Seperti yang dinyatakan Rasulullah SAW: ”Harta yang paling nikmat adalah harta yang baik, yang dipegang oleh seorang yang soleh”. Selanjutnya baginda bersabda: ”Barang siapa yang hidup sampai petang bekerja dengan tangannya, dia akan berada dalam keampunan”. Sabdanya lagi: ”Sesungguhnya Allah mengasihi mukmin yang punya pekerjaan”.

FIKRAH KEMASYARAKATAN
Kerana mereka memperhatikan penyakit-penyakit masyarakat Islam dan berusaha mencari jalan penyembuhan ummat dari penyakit tersebut.


(sumber internet)

Dinukil daripada buku `Memperingati 100 Tahun - Hassan Al-Banna’ susunan Ustaz Riduan Mohd Nor, terbitan MHI PUBLICATION, 2007.

Tiada ulasan: