Rabu, Mei 06, 2009

TULISAN USTAZ NIK ABDUH, GEMPAR TAPI BERMANFAAT

Sehari dua ini saya cuba tinjau banyak blog sahabat-sahabat sejamaah. Samaada Pimpinan Pusat,Ulama, Pemuda, Muslimat, pimpinan negeri, kawasan dan bloger-bloger pas yang sempat saya ziarahi. Saya cuba lihat apa riaksi mereka terhadap tulisan berani Ustaz Nik Abduh tempoh hari. Di samping itu saya cuba memahami tulisan-tulisan mereka seupaya mungkin.

Sekelumit pengalaman selama 23 tahun dalam Pas saya jadikan sebahagian daripada keupayaan itu. Memahami manusia adalah suatu yang sangat sukar, khususnya apabila manusia tersebut tidak dimujahadahkan dengan jiwa rohani yang sebenar. Maka seringkali lah ucapan atau tulisan mereka berlainan dari apa yang mereka "sedang usahakan". Benar kata seorang ahli tassauf, "waspadalah dengan manusia. Sehodoh-hodoh binatang, wajahnya tetap sama sejak mula kita melihatnya. Tetapi seindah-indah manusia, wajahnya sering berubah-ubah".

Jika kita amat-amati tulisan dari blog ke blog. Khususnya dimusim "tahun pemilihan". Berbagai wajah dapat kita saksikan. Ada sesetengahnya secara mendadak menjadi wara'. Tetapi dicelah-celah kewarakan itu tetap ada unsur-unsur lobi yang agak ketara. Atau paling kurang ucapan yang bersifat mempertahankan diri selepas selesai melakukan kerja-kerja yang tersembunyi. Ada pula yang terang-terang melobi diri sendiri. Cumanya dengan cara yang agak segan-segan. Di copynya tulisan orang lain yang melobi dirinya lalu di pastekan kat blognya sendiri. Ini pun termasuk kerja-kerja kelakar jugak yang menghiasi pentas tahun pemilihan.

Sesetengahnya pula sangat bijak bermain "catur" ( pinjam perkataan seorang bloger). Dicaturnya semua orang disemua peringkat pemilihan. Sehingga dapat kita lihat "king" pun nak dicaturkannya. Kalau King boleh dicaturnya maka mudah sangat lah ia mencaturkan "kuda" dan bidak-bidak yang lain. "Castle" dijadikan benteng terakhir untuk berlindung diri jika ada orang yang menyedari kerja-kerja mencatur itu. Maka Castle akan memberi peringatan kepada ahli umum, "waspadalah menjaga hati, jangan bersangka buruk kepada sesama kita". Saya tidak menuduh semua ucapan seumpama itu adalah bertujuan meredakan suasana atau melindungi seseorang. Kerana ada orang yang memberi peringatan sebegitu benar-benar lahir dari keikhlasan lubuk hati mereka.

Dapat kita lihat semua ini dengan jelas jika kita ikuti tulisan dan tindakan sesetengah mereka dengan tersusun. Ada orang yang sesekali nampak macam mahu lonjakkan temannya keatas, supaya berjaya menduduki posisi yang lebih sesuai dengan tarafnya. Lalu diajak lah ahli umum bersama dengan "hasrat ikhlasnya" itu. Namun dalam masa yang sama diidamkannya kerusi yang bakal dikosongkan oleh temannya. "Anta kena bertanding lawan "orang ini" kerana dia bukan orang kita". "Anta kena pertahankan jawatan anta, jangan tarik diri, kerana kalau orang dia yang duduk disini susah kita nanti".

Pendedahan yang dibuat oleh Ustaz Nik Abduh mungkin agak mengemparkan dan tindakan yang kurang POPULAR bagi sesetengah orang. Namun apakah kita perlu membiarkan keadaan yang tidak betul berlaku dalam jamaah hanya sekadar mahu menjaga populariti diri sendiri?. Umum ahli Pas, juga diri saya, sudah lama menyedari adanya usaha-usaha menyemai bibit permusuhan antara Ulama dan Profesional serta seorang pimpinan dengan pimpinan yang lain. Namun oleh kerana "kita hanya ahli biasa", siapalah yang akan mengambil perhatian terhadap apa yang kita bangkitkan. Paling-paling tidak kita akan dianggap mudah "bersangka buruk" kepada sesama jamaah. Mahu tak mahu kita terpaksa tunggu kalau-kalau ada dikalangan pimpinan atasan yang tidak "mementingkan populariti" yang akan bersuara mengenainya.

Suara amaran adanya jamaah dalam jamaah telah kerap kali disuarakan dimana-mana. Saya sendiri pernah menyentuh perkara ini dalam Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Ipoh dahulu. Namun seperti yang saya katakan tadi "siapa lah kita". Jamaah dalam jamaah tetap bergerak subur dalam Pas. Untuk menyelamatkan Pas daripada landaan kerja-kerja tersusun ini kita memerlukan mereka-mereka yang berani dan tidak mementingkan "populariti". Jamaah dalam jamaah inilah yang mengerat akar-akar wala ahli kepada pimpinan. Jamaah dalam jamaah inilah yang akan mengheret Pas kepada porak puranda dan kacau bilau.

Malangnya apabila kita suarakan perkara ini, ada yang cuba mengalih pemahaman dan perhatian umum ahli Pas. Kononya kita tidak menerima hadirnya bekas ahli jamaah-jamaah lain atau NGO kedalam Pas. Kononnya kita "jumud" dengan Pas. Sedangkan kita telah mengwar-warkan "Pas For All". Tiba-tiba kita tidak boleh menerima kehadiran orang lain yang tentunya membawa manfaat kepada Pas. Saya tidak tahu, tulisan dan anggapan begitu dilontarkan samaada mereka tidak faham dengan maksud "jamaah dalam jamaah" atau sengaja buat-buat tidak faham apa yang sedang berlaku dalam jamaah.

Sudah acap kali kita suarakan. "Pas For All" bukan selogan yang menghalalkan mana-mana orang masuk Pas dan kemudian membina jamaah mereka sendiri dalam Pas. Kita terima keujudan jamaah-jamaah atau NGO-NGO lain diluar Pas. Namun untuk membentuk team mereka dalam jamaah ini sehingga wala' sebenar mereka bukan kepada Pas adalah usaha yang telah kita lihat sebelum ini menghancurkan Pas. Apakah kita mahu disengat berkali-kali dalam satu lubang?. Mereka yang belum pernah disengat mungkin tak kesah perkara-perkara seperti ini. Sebab itu Ustaz Nik Abduh bertindak "menyengat", kerana sudah tidak tahan disengat. Apatah lahi operasi menyengat itu berlaku dihadapan beliau sendiri.

Tahun ini kembali semuala berkumandang perkataan "Ulama dan Profesional". Seolah-olah payah sangat untuk ulama menerima golongan Profesional dan seolah-olah degil benar golongan Profesional untuk menerima kepimpinan ulama". Saya bimbang issue ini hanya dihangatkan oleh manusia tertentu dalam jamaah, yang mempunyai agenda menghancurkan Pas daripada dalam. Apabila Pas sudah lemah maka akan memberi peluang mereka menguasai posisi penting dalam Pas. Jangan biarkan "syaitan hitam" menyelitkan diri ditengah-tengah saf kita. Sedangkan selama ini kedua-dua golongan tersebut berjaya menyuntik tenaga kepada perjuangan Pas.

Kita dapat lihat Ulama-ulama tekun menyertai program yang dikendalikan oleh pimpinan dari kalangan profesional. Ulama sertai seminar kepimpinan dan pengurusan. Ulama sertai Seminar gerakkerja pilihan raya. Ulama sertai kursus pengurusan IT dan macam-macam lagi. Disamping itu kita juga pernah melihat pimpinan dari kalangan profesional bersimpuh dalam majlis ulama, menadah kitab... semuanya okey jika masing-masing tawaddhu dan tidak dikacau oleh "syaitan hitam".

Golongan ulama sudah acap kali memberitahu bahawa "kepimpinan ulama" tidak bemberi makna keseluruhan barisan kepimpinan pas itu mesti semuanya ulama". Kepimpinan Ulama ialah kepimpinan yang diterajui oleh Ulama danbarisan kepimpinan yang berfikrah ulama walaupun mereka bukan ulama. Sebenarnya tidak susah untuk faham. Tapi yang susahnya wajah manusia itu berbagai-bagai dan hati pula mempunyai keinginan yang sering berubah-ubah.

Sebelum saya berundur, sekali lagi saya menyeru kita semua berani memperkatakan kebenaran walaupun dengan itu kita tidak popular bagi sesetengah orang. Orang yang sebenar-benarnya popular ialah orang yang namanya disebut dilangit dalam himpunan para Malaikat Allah swt.

Ustaz Mokhtar Senik

Tiada ulasan: