Rabu, Mei 20, 2009

KARNIVAL HARMONI 2009



Keharmonian dan kerukunan hidup dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia merupakan suatu nikmat yang amat besar. Ianya perlu dipandang serius oleh semua pihak ,sebagai tunjang kekuatan dan kestabilan negara. Keharmonian hanya akan tercapai jika wujudnya sifat saling faham memahami antara satu sama lain terutamanya bagi sesebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang maju, makmur dan progresif. Pengiktirafan perlembagaan negara kita bahawa Islam adalah agama persekutuan adalah suatu hakikat yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap individu kerana ia adalah asas penting dan tonggak pembentukan negara ini yang telah terbukti berkesan menjamin kerukunan dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.


Karnival Harmoni 2009 adalah satu program yang berbentuk menyeluruh secara konseptual –Karnival ini merupakan Karnival Dakwah yang julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia(JIM),dibawah Jawatan Kuasa Dakwah & Hidayah Centre yang bermatlamat memupuk sifat keharmonian kaum melalui perkongsian kefahaman dan maklumat tentang Islam terutamanya kepada masyarakat bukan Islam dinegara ini. Ia akan menjadi satu platform untuk memperkenalkan asas-asas Islam kepada masyarakat bukan Islam; Prinsip dan falsafah Islam yang diiktiraf sebagai satu tonggak penting yang harus kita contohi melambangkan ciri-ciri perpaduan hidup yang harmonis di negara kita Malaysia.


Karnival ini berlandaskan konsep keharmonian kerana ia bersesuaian dengan kata dasar Islam itu sendiri iaitu ‘salam’ atau sejahtera dan selamat. Islam menyeru kepada kesejahteraan dan keharmonian hidup di dunia dan juga akhirat. Proses penyeruan dan ajakan inilah yang dinamakan ‘dakwah’. Dakwah juga bermaksud menyeru dan mengajak setiap manusia ke jalan Allah yang menjadi tanggungjawab setiap individu muslim. Dakwah dijalan Allah perlu disebarluaskan sebaik mungkin agar lebih ramai umat manusia memahami serta merasai nikmat Islam yang harmoni, indah dan adil. Nikmat kerukunan dan kestabilan dalam Islam telah memupuk masyarakat Malaysia menerajui hakikat kehidupan yang syumul,yakni lengkap dan menyeluruh.


Pada hari ini,masih terdapat jurang yang sangat ketara dari segi kefahaman terhadap Islam diantara umat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan adalah ciri-ciri khas Malaysia yang perlu dikongsi dikalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Usaha yang lebih gigih dan kreatif perlu diterapkan untuk merapatkan jurang perbezaan ini.


Pengiktirafan, penerapan dan perlaksanaan unsur-unsur syariah Islam yang adil dan saksama di Malaysia harus dikongsi bersama agar ia bukan sahaja menjadi agenda umat Islam sahaja tetapi ia juga dapat difahami,diterima serta mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini, sama ada dari kalangan orang Islam dan bukan Islam. Hanya melalui usaha yang bersungguh-sungguh dalam perkongsian maklumat dan pengalaman yang jelas sahaja, cita-cita ini akan tercapai dan terlaksana.


Karnival Harmoni 2009 bertujuan menyemarakkan lagi agenda keharmonian masyarakat Malaysia yang berbagai kaum, bangsa dan agama. Karnival Harmoni 2009 cuba mewujudkan suasana dakwah dan kefahaman asas-asas Islam secara meriah, kreatif, interaktif, santai dalam kepelbagaian kaum dibawah satu bumbung pada masa yang sama yang mudah difahami oleh orang ramai terutamanya masyarakat bukan Islam.Corak perjalanan Karnival ini akan menimbulkan kefahaman yang jelas dan menyerlah. Segala bentuk tanggapan negatif , konservatif dan salah faham terhadap Islam akan dapat dihapuskan .Kejernihan serta keunggulan Islam agama sejagat akan direalisasikan dalam karnival ini melalui program dan aturcara yang telah disusun rapi .Harapan dan matlamat kami agar usaha dakwah ini akan diberkati Allah dan berjaya mencapai objektifnya.


Kami dengan ini mengajak semua pihak termasuk pihak media agar bersama-sama JIM-Hidayah Centre memainkan peranan menyeru menjayakan dan memeriahkan lagi program Karnival Harmoni 2009 ini. Kami mengalu-alukan segenap lapisan masyarakat terutamanya masyarakat bukan Islam di sekitar Lembah kelang, bersama ahli keluarga,rakan taulan dan jiran tetangga, beramai-ramai datang mengunjungi Karnival Harmoni 2009 ini.

Sedikit maklumat mengenai program tersebut:


Tarikh Program Karnival Harmoni : 22 – 24 Mei 2009 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)

Waktu: 10 pagi – 10 malam setiap hari

Tempat : Aras G, Concourse Summit USJ Subang Jaya

Masuk adalah Percuma


Program-Program menarik:


Pameran dan Jualan,persembahan tarian singa, pertunjukan seni mempertahankan diri silambam, gendang masyarakat India,tarian pelbagai bangsa Arab, nasyid, forum, pertandingan melukis kanak-kanak, cabutan bertuah dan banyak lagi. Agenda penuh disertakan bersama. pemeriksaan kesihatan secara percuma juga turut disediakan dari Hospital Pakar An Nur.


Untuk maklumat lanjut sila hubungi :


Pejabat Hidayah Centre di talian 03-41089669

Tuan Haji Muhamad Sylvester, Pengerusi Hidayah Centre ( 019 3335549)

En Nashiruddin Mohd Tahir, Pengarah Karnival Harmoni 2009 (019-3850732)

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warah matullahi wabarakatuh.


NASHIRUDDIN MOHD TAHIR

Pengarah Program

Karnival harmoni 2009.

Tiada ulasan: