Khamis, Februari 04, 2010

MENUNTUT ILMU


Sesungguhnya menuntut ilmu itu tiada penghujungnya. Dari saat dilahirkan hinggalah tiba saat kematian.

Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara dimana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".
Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi.

Pelbagai cabang ilmu boleh kita dapati, antaranya ilmu berkaitan urusan duniawi, juga ilmu bagi kita memantapkan iman sebagai seorang Muslim yang Mukmin.

Namun apa pun, adalah baik sekiranya kita dapat mendalami ilmu-ilmu berkaitan Fardhu-Ain terlebih dahulu dan terlebih baik jika kita dapat menguasai kedua-duanya. Apatah lagi sebagai seorang Muslim, kita wajib mengenal Allah. Masakan boleh kita mengenal Allah tanpa ilmu?

Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.

Sesungguhnya untuk dapatkan dunia perlukan ilmu, untuk dapatkan akhirat juga perlukan ilmu. Dengan kata lain, hidup kita di dunia mahupun di akhirat mesti bersandarkan ilmu.

Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa terutamanya ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah.

Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

Walaupun adakalanya seseorang yang telah berilmu namun masih melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, itu adalah ujian baginya. Dan dengan ilmu yang ada insya-Allah dia akan temui jalan untuk kembali.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: