Selasa, Januari 06, 2009

ULAMA`& UMARA` DARI PERSPEKTIF ISLAM

AlhamdulilLah ! Bertambah lagi usia kita dengan melangkahnya kita semua ke tahun baru 1430 Hijrah, selawat dan salam kepada Rasul pilihan Muhammad saw, kaum keluarga Baginda dan semua para sahabat yang dimuliakan hendaknya. Tidak dilupakan juga kepada semua mujahid dan mujahidah yang sentiasa menjunjung panji-panji kebenaran di sepanjang zaman.

Bersempena dengan perubahan masa dan waktu yang telah membawa kita ke suatu tahap atau tahun yang baru dalam takwim hijrah, bermakna sudah hampir 1430 tahun peristiwa Hijratur Rasul bersama ummat Islam dari Mekah ke Yathrib (Madinah) sayugianya sarat dengan pelbagai pengajaran dan hikmah yang cukup bernilai kepada ummah seluruhnya. Keadaan ini juga bermaksud sudah hampir melewati 1420 tahun Junjungan Nabi saw pergi buat selama-lamanya meninggalkan ummat yang Baginda kasihi. Kepimpinan Rasul saw selama kurang-lebih 23 tahun, telah berjaya membawa bangsa Arab dan manusia seluruhnya ke suatu suasana kehidupan baru (hadharah) yang telah lama hilang dari susila kemanusiaan dan ketamaddunan yang pernah mereka kenali sebelum ini. Kepimpinan Rasul saw berdiri atas 2 asas atau fungsi utama iaitu:-

  1. ar-Risalah iaitu penerima (wahyu) dan pembawa kepada ajaran Islam dari AlLah swt.
  2. al-Imamah iaitu sebagai ketua atau pemimpin tertinggi ummah dalam menghidupkan serta merealisasikan kehidupan dengan muamalah Islam yang tersendiri dan berlainan dari suasana jahiliyyah waktu itu.

Inilah kepercayaan yang menjadi pegangan kepada ummat Islam generasi pertama dahulu dan berlanjutan sehingga beberapa abad lamanya,

Apabila Nabi saw wafat tugas serta peranan sebagai ketua umum kepada seluruh ummah diganti oleh Khulafa` ur-Rasyidin yang menjalankan fungsi `Iqamatideen wasiyasatuddunyabih` - Menegakkan Agama dan mentadbir dunia dengannya (Agama). Fungsi 1 `Kenabian` sebagai penerima ar-Risalah (wahyu) sudah tidak berlaku lagi dengan kewafatan Nabi Muhammad saw, tetapi tugas pembawa dan yang lainnya terus berjalan dan terpundak ke atas ummat seluruhnya. Pada ketika ini jawatan adalah amanah AlLah dari ummah dengan berlakunya proses `baiah`. Amanah ini disebut sebagai `khalifat ur-Rasul` pengganti kepada Rasul, belum ada lagi dalam kamus perbendaharaan ummah waktu itu pembahagian yang disebut ulama` di satu pihak dan umara` pula di satu pihak. Ummah memahami `al-ulama` warasatul an-Biya` dari perspektif orang-orang yang a`lim (lebih pengetahuan) sebagai penyambung tugas Nabi menyebarkan dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam.

Ketika pemerintahan khalifah yang empat ini Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali radialLahuanhum ajmaen, merekalah ulama` dan merekalah juga umara` sebagai khalifah atau pemerintah ummah seluruhnya. Selama 30 tahun mengikut hitungan hijriyah, pemerintahan khalifah yang 4 ini berkuasa dan mentadbir kehidupan ummah sebagaimana peninggalan RasululLah saw. Para sahabat agung ini telah berjaya menyelamat, meletakkan asas yang kukuh dan murni, mengembang dan membuktikan kepada dunia ketika itu bahawa risalah kebenaran ini adalah dari AlLah swt dan akan dipelihara olehNya walaupun selepas kewafatan Nabi saw. Pegangan seluruh ummat Islam dalam semua segi lapangan kehidupan dengan sendirinya telah begitu jauh dan kukuh meninggalkan pengalaman pemikiran jahiliyyah mereka sebelum ini walaupun dalam jangka masa yang begitu singkat, peralihan iktiqad mereka.

Takdir mengatasi segalanya, maka berlakulah tragedi yang begitu menyayatkan hati para mukmin seluruhnya iaitu peralihan kekuasaan khalifah kepada bentuk serta corak yang berlainan dari sebelumnya. hanya AlLah swt sahaja yang mengetahui apa hikmah di sebalik kepiluan tersebut. Jawatan khalifah telah diwarisi dari satu keturunan ke satu keturunan mengikut kekuatan dan kebijaksanaan pemerintah memanipulasikan suasana serta kekuatan politik dan tentera masing-masing. Pada ketika ini, barulah ummah mula mengenali `pembahagian` tugas `imamah` iaitu ulama` berada di satu pihak dan umara` (pemerintah) pula berada di satu pihak. Namun para pemerintah masih lagi di kalangan mereka yang menghormati ulama` dan para ulama` pula tidak takut untuk menyatakan yang haq walaupun di depan umara`.

Ianya berjalan dalam suasana sebagaimana yang terakamkan oleh sejarah ummah, bagaimana Islam telah berjaya membebaskan sebahagian besar permukaan bumi ini dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam. Empayar pemerintahan Islam telah berkembang dari benua Arab hingga ke timur sejauh Miraukee, ke barat menyeberangi Laut Mediteranian hingga perbatasan Sepanyol dan Perancis, ke utara dari Asia tengah hingga ke Moskow dan China, ke selatan merentasi benua Afrika hingga ke pantai selatan benuanya. Dalam jangka masa melebihi 12 abad lamanya bumi ini menerima serta dibangunkan kehidupan penghuninya dengan hanya 1 sistem (al-Islam) yang diterima semua rakyat muslim atau non muslim sebagai undang-undang tertinggi negara. Memang tidak dapat dinafikan terdapat ramai umara` yang zalim serta fasiq dalam tempoh waktu ribuan tahun itu, sebagaimana ramai juga ulama` yang berkepentingan dan penjilat, tetapi yang pentingnya waktu itu ialah paksi ummah pada keseluruhannya masih lagi memihak kepada kebenaran.

Salah satu faktor penting yang memberikan kesan besar terhadap kekuatan serta tempoh masa yang lama tersebut ialah kebijaksanaan kedua-dua pihak samada ulama` dan umara` yang telah memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan ummah ketika itu. Manakala ummah pula hanya mengenali ulama` atau umara` yang mengakui satu agama (sistem) sahaja. Menjadikan risalah kebenaran (al-Islam) terus berkembang walaupun sering kali bertentangan dengan kepentingan umara`. Ulama`-ulama` yang menjadi sanjungan ummah di kemudian hari ialah mereka yang sanggup menyatakan kebenaran di hadapan umara` yang zalim. Ramai di kalangan mereka mengirimkan `haruman kasturi` kepada kita mutakhir ini lewat perjuangan mereka menegakkan Islam yang sebenar. Tidak kurang juga umara` yang begitu menghormati ulama` dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Sehingga ada pepatah mengatakan -umara` yang baik ialah yang mendatangi (berkehendak) kepada ulama`, dan ulama` yang jahat ialah yang mendatangi (berkehendak) kepada umara`.

Sebelum dari kejatuhan khilafah Islam di Turki lagi pegangan sebahagian besar ummat Islam menjadi semakin kabur dan longgar dari perspektif Islam. Dengan jatuhnya sistem kekhalifahan itu fungsi imamah yang berkurun lamanya menjadi pegangan ummah mengalami proses `pemadaman` dari minda ummah. Gerakan secara yang lebih tersusun tersebar luas di sebalik berkembangnya fahaman sekular dari barat ke atas semua wilayah-wilayah ummat Islam sehingga ke hari ini.

Oleh itu sebarang usaha dari mana-mana pihak sekalipun untuk mengenal pasti fungsi atau mengembalikan semula peranan ulama` dan umara` amatlah dialu-alukan. Ini kerana bagi ummah Islam, tidak pernah mengenali adanya jurang pemisahan antara keduanya, yang ada ialah masing-masing menegakkan dan mengembang agama AlLah, kerana keduanya dalam sejarah Islam yang lampau menjunjung tinggi undang-undang ILahi. Tetapi jika satu pihak berdiri atas satu sistem ILahi manakala yang satu lagi sistem demokrasi berparlimen ataupun sebaliknya maka usaha ini hanyalah seperti menabur benih di angkasa jadinya. Sekian dahulu untuk pertemuan kali ini. Dari -Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``

-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Dipetik dari : BULETIN AL-HADHARAH


Tiada ulasan: