Selasa, Julai 29, 2008

ASY-SYAHID SYEIKH AHMAD YASIN



Pembunuhan kejam pengasas kumpulan HAMAS, Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yasin pada 22 Mac 2004, memang mengejutkan umat Islam seluruh dunia. Pemimpin yang lumpuh hampir seluruh tubuh serta rabun penglihatan itu, diserang oleh Israel dengan tiga peluru berpandu sejurus selepas beliau menunaikan solat Subuh.

Walau bagaimanapun, kematian beliau merupakan “kehidupan baru” bagi perjuangan suci membebaskan Baitul Maqdis. Ia menyalakan lagi api perjuangan yang semakin terang-benderang.

Kematian yang sungguh indah bagi pejuang agung yang menghabiskan seluruh hidupnya untuk jihad,” ujar Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi sebaik saja mendengar berita kematian “Amir Syuhada” itu. Dia telah menepati janjinya sebagaimana firman Allah SWT, ertinya:

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur. Dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah (janjinya).”
(Al-Ahzab:23)

Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yasin pernah mengungkapkan "Kita memilih jalan ini dan kita akan menamatkannya dengan syahid dan kemenangan”.

Beliau menepati janjinya iaitu ”Syahid” pada Isnin, 22 Mac 2004, setelah dibedil dengan peluru berpandu dari helikopter Apache Israel, dalam kempen Israel untuk menghapuskan kepimpinan HAMAS menjelang pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza.

Ribuan penyokong HAMAS berpusu-pusu ke rumah mayat Hospital Shifa’ untuk melihat kali terakhir wajah mujahid agung ini. Langit kelihatan hitam sebagai tanda turut berkabung atas kematiannya.

Setelah berjalan jauh di atas jalan jihad, akhirnya beliau mandapat apa yang dicita-citakannya iaitu Syahid. Tibalah masa untuk beliau mengadap Tuhannya.

Seluruh isi Palestin menangis. Mereka membanjiri jalan-jalan, seraya berkejaran untuk melihat wajah terakhir beliau, memeluknya penuh rindu, dan bersumpah akan bertindak balas atas kebiadaban yang dipentaskan oleh Zionis Israel.

Sekiranya mereka boleh meminta dan mendapat kesempatan, pastilah setiap orang pada waktu itu ingin menjadi orang yang menghantar jenazah beliau ke perkuburan. Ataupun sekurang-kurangnya mendapat kesempatan untuk menyaksikan wajahnya yang menyejukkan. Atau sekadar meraba tapak tangannya yang hancur supaya dapat belajar bagaimana cara memukul musuh dengan baik, serta bagaimana seharusnya menjalani kehidupan ini.

Sebagaimana Asy-Syahid pernah berkata: "Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku ke atas kami, sehingga tiada satu kaum pun yang bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah. Tiada satu kaum pun (dikalangan kalian) yang bangkit menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia yang dianiaya dan dizalimi kepada pembunuh dan penjenayah serta pengganas...(Tidak adakah yang mahu bangkit menentang musuh-musuh) yang berjanji setia untuk menghancurkan dan menghukum kami?"

Catatan ini dinukil daripada prakata buku ”Syeikh Ahmad Yasin – PERJUANGAN MEMBURU SYAHID” oleh Muhammad Umar Ghazali, terbitan Smartlife Resources, 2005.

Tiada ulasan: