Rabu, Februari 11, 2009

NIZAR MENTERI BESAR TANPA KUASA


PERLEMBAGAAN BOLEH DIPERTIKAI

Oleh:Mokhtar Petah (http://mokhtarpetah.blogspot.com)


Negeri Perak kini, adalah sebuah negeri ganjil dalam sejarah, kerana mempunyai dua orang Menteri Besar yang dipandang sah di segi perlembagaan negeri tersebut – seorang disanjung dan seorang lagi dikutuk.

Dato’ Dr. Zambry Abdul Kadir (UMNO - Barisan Nasional) telah memegang jawatan Menteri Besar Perak dengan kuasa eksekutif di tangannya dan Dato’ Seri Mohammed Nizar Jamaluddin (PAS - Pakatan Rakyat) masih tetap Menteri Besar negeri tersebut tanpa kuasa di tangannya.

Kedua - dua individu berpelajaran tinggi itu telah dikemukakan oleh Ketua Parti politik masing- masing dan dilantik - perkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.


DIANGGAP GANJIL

Jika berpandu kepada Perlembagaan Negeri Perak yang diguna - pakai pada sekitar tahun 1970 - an, iaitu pada masa Tan Sri Mohd.Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar negeri tersebut, Mohammed Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar yang sah kerana beliau dilantik - perkanan oleh Sultan dan pemecatan ke atasnya tidak sah.

Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik - perkenan oleh Sultan Perak, tetapi jika mengikut Perlembagaan Negeri tersebut pada tahun 1970-an, maka pelantik-perkenan ke atas beliau boleh dianggap ganjil.

Kedudukan kedua-dua Menteri Besar itu akan bergantung kepada keputusan Hakim (atau beberapa hakim) Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan. Pada masa ini orang ramai masih tertanya - tanya, keputusan menyebelahi pihak mana; pihak UMNO – Barisan Nasional atau PAS – Pakatan Rakyat?


TERPAKSA AKUR

Jika Mahkamah mengakui tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (memerintah Ir. Mohammed Nizar Jamaluddin dan anggota-anggota Exconya meletak jawatan, jika mereka tidak meletak jawatan masing - masing, maka Sultan mengangap jawatan itu tidak ada pada mereka lagi), sebagai sah, maka beliau dan anggota-anggota Exconya terpaksa akur.

Tetapi jika Mahkamah memutuskan, bahawa titah - perintah Sultan Perak itu tidak sah, maka terpaksalah Dr. Zambry Abdul Kadir berundur dirinya dari jawatan keramatnya itu.

Mengikut keterangan Ketua DAP, Karpal Singh, bahawa beliau (pihak Pakatan Rakyat) akan mengambil tindakan mencabar keputusan Sultan Azlan di Mahkamah Tinggi, maka, sementara menunggu keputusan perbicaraan itu nanti, Ir. Mohammed Nizar Jamaluddin dan anggota - anggota Exconya mestilah bertahan tidak meletakkan jawatan dan terus dengan Menteri Besar tanpa kuasa.


HILANG KEDUDUKAN

Beberapa orang yang mahir perlembagaan dan adat istiadat Melayu berpendapat, Jika Ir.Mohammed Nizar Jamaluddin dan barisan Exconya meletakkan jawatan masing-masing, maka mereka akan hilang kedudukan atau mengalah sebelum ada keputusan mahkamah.

Jalan yang baik, ialah mereka tidak meletakkan jawatan masing- masing, iaitu menunggu satu keputusan yang adil dari Mahkamah.

Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan, maka Ir. Mohammed Nizar Jamaluddin akan kembali ke pejabatnya sebagai Menteri Besar yang berkuasa.


PUCUK PIMPINAN

Pada masa itu Negeri Perak akan berulang kejadian Sultan dan Menteri besar tidak bekerjasama, seperti Sultan Idris Shah dengan Mohd. Ghazali Jawi.

Jalan keluar yang lojik, apabila berlaku demikian, Pucuk pimpinan PAS - PKR memberhentikan Ir. Mohammed Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan menggantikan dan kemukan muka lain kepada Sultan untuk dilantik - perkenan memegang jawatan Menteri Besar.

Sultan Perak juga boleh memilih jalan adil, iaitu setelah melihat kedudukan kerajaan negeri pimpinan PR tidak boleh diharapkan lagi, Baginda boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya mengadakan pilihan raya baru.


KRISIS POLITIK

Saya telah menulis dalam blog ini pada Ahad ( 7 Februari), bahawa krisis politik di Negeri Perak sekarang sama dengan yang berlaku dalam krisis politik antara UMNO - Barisan Nasional dengan istana, iaitu Tan Sri Mohd.Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan Menteri Besar walaupun Sultan Idris Shah mahukan beliau berbuat demikian.

Mohd. Ghazali Jawi telah mengingkari titah dan kehendak Sultan. Beliau tidak meletakkan jawatan Menteri Besar sehingga Negeri Perak berada dalam krisis yang lama antara UMNO - BN dengan Istana – Sultan Idris Shah.

Krisis itu telah bermula kerana Sultan Idris Shah telah enggan melantik - berkenan Mohd. Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar atas sebab-sebab tertentu. Presiden UMNO - BN, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggunakan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato Ishak Tadin (Tan Sri) untuk berunding dengan Sultan Idris dan memohon Sultan melantik Mohd. Ghazali Jawi bagi kadar tempoh tiga hingga enam bulan.


MELUCUTKAN JAWATAN

Pada malam diadakan perundingan antara Ishak Tadin dengan Sultan Idris di Istana Firuz, Ipoh, saya telah turut sama.

Ishak Tadin menyembahkan janji Tun Razak, lepas tempoh tersebut, seorang tokoh lain dari ahli Dewan Undangan Negeri akan disembahkan kepada Baginda untuk Baginda lantik – perkenan.

Baginda percaya kepada janji Tun Abdul Razak, maka baginda telah melantik - berkenan Mohd. Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar bagi Negeri Perak.

Sultan Idris telah membilang hari, minggu dan bulan. Hingga lewat bulan yang dijanjikan oleh Tun Razak itu, Mohd. Ghazali Jawi tidak berhenti dari Menteri Besar (kalau sekarang beliau dianggap derhaka). Presiden UMNO, Tun Razak tidak bertindak memberhentikanya.

Allahyarham Hakim Tun Mohd. Sufian Haji Hashim telah memaklumkan kepada Sultan Idris, bahawa Baginda tidak boleh melucutkan jawatan Menteri Besar dari Mohd. Ghazali Jawi, kerana dalam Perlembagaan Negeri Perak tiada artikel yang membolehkan Baginda berbuat demikian.


MEMUKUL GENDANG

Kalangan UMNO Perak seperti memukul gendang di seluruh negeri, menyampaikan ‘khabar derhaka’ (?), bahawa Sultan hanya ada hak melantik - berkenan seseorang dari parti politik yang menang majority untuk memegang jawatan Menteri Besar, tetapi tidak ada dalam Perlembagaan negeri tersebut yang Sultan boleh memberhentikannya dari jawatan Menteri Besar.

Krisis antara UMNO - BN dengan Sultan Perak berlarutan. Tetapi Sultan mendapat sokongan sebilangan dari ahli – ahli Pergerakan Pemuda UMNO. Di antara mereka itu, Abu Bakar Ashaari dan Abdullah Haji Muhammad.

Sebaga langkah terakhir Sultan Idris Shah telah berangkat ke Pulau Pangkor bersama para pembesar negeri dan penyokong Baginda dan di sana Baginda mengumumkan yang Baginda ber ‘nazar’ menyimpan jambang, misai dan janggut selagi Mohd. Ghazali Jawi tidak meletakkan jawatan Menteri Besar.


NEGARA DEMOKRASI

Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia, maka Allahyarham telah memberhentikan Mohd. Ghazali Jawi dari memegang jawatan Menteri Besar Perak. Krisis antara UMNO - BN dengan Istana Perak telah selesai.

Mungkin ada orang yang terpengaruh akan tulisan pakar undang – undang dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Datuk Rais Yatim, ‘…sultan Perak khususnya boleh membuat kaedah sendiri sejajar dengan artile 16(4) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.”, tetapi tulisan itu masih samar jika kita kembalikan kepada zaman Sultan Idris Shah dan Tan Sri Ghazali Jawi.

Tindakan Ir. Mohammed Nizar dan barisan anggota Exconya tidak mematuhi titah Sultan Perak tidak boleh dianggap ‘derhaka’, kerana sebagai rakyat dalam negara demokrasi ada ruang bagi mempertikaikan titah - perintah Sultan Perak itu menerusi Mahkamah.


BERLAKU ADIL

Bagi kita yang berfikiran secara intelektual, tidak salah bertanya; adakah titah - perintah Sultan Perak itu benar dan adil, apakah pendapat Pakatan Rakyat dan Ir. Mohammed Nizar itu betul dan sesuai dengan perlembagaan Negeri Perak dan adakah pendapat UMNO-BN itu benar. Hanya mahkamah bakal menentukan.

Pendapat atau fatwa Mufti Perak, Dato’Seri Harussani Zakaria meletakkan Ir. Mohammed Nizar Jamaluddin sebagai derhaka kepada Sultan Perak, boleh dipandang betul sekiranaya tindakan Baginda itu bertepatan dengsn firman Allah agar Nabi Daud ‘berlaku adil antara manusia’.

Pendapat Ustaz Haron Din, bahawa tindakan tidak taat kepada keputusan Sultan Perak itu tidak boleh dianggap derhaka, boleh dipandang betul, jika Sultan Perak membuat keputusan tidak selaras dengan firman Allah kepada Nabi Daud.

Oleh kerana negara dan negeri Perak tidak mengguna-pakai perlembagaan Negara Islam, maka krisis yang berlaku di Perak tidak boleh dibawa kepada agama Islam, kerana kuasa kuasa perlembagaan dan perundangan mengatasi perlembagaan dan perundangan Islam.

Jika tindakan Ir. Mohammed Nizar Jamaluddin dan barisan Exconya tidak mematuhi Sultan Perak dianggap derhaka, maka apakah kita letakkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kalangban UMNO yang memansuhkan sebahagian dari kekebalan (immunity) Raja Melayu pada tahun 1990 - an?

(Tamat).

(Saya copy-paste terus artikel ini dari blog penulis tanpa sebarang editing @ tambahan, melainkan sedikit pembetulan ejaan. – Insan Kerdil)

Tiada ulasan: